Links

  Setempat
  Sosioekonomi
  Pendidikan
  Infrastruktur
  Binjai Souq
  Hubungi Kami

Sosioekonomi  

Penduduk di Binjai ada menjalankan aktiviti perniagaan secara kecil-kecilan untuk menampung kehidupan mereka seperti membuka gerai makanan, minuman dan juga kedai runcit. Sebilangan mereka juga menjalankan aktiviti pertanian. Mengusahakan sawah padi dan juga menoreh getah antara yang banyak dilakukan di samping segelintir yang lain menternak kambing dan lembu. Penduduk di Binjai menjalankan aktiviti perikanan dengan menjadikan Sungai Binjai sebagai lokasi menjala ikan. Selain menjalankan aktiviti pertanian, golongan belia lebih senang bekerja di sektor awam dan sektor swasta yang terdapat di Bandar Chukai.

Pertanian dan Perladangan

Perkembangan dalam teknologi pertanian telah membuka peluang kepada masyarakat setempat untuk menceburkan diri dalam projek pertanian dengan mengusahakan tanaman pokok kelapa pandan sejak tahun 1990-an. Tanah-tanah kerajaan yang terbiar dibangunkan menjadi kawasan kebun pokok kelapa pandan di bawah Program Tanah Berkelompok Pertanian. Ketika memulakan projek itu, Jabatan Pertanian Negeri Terengganu telah bermurah hati memberikan subsidi benih pokok kelapa pandan. Selain anak pokok, Jabatan Pertanian memberikan bantuan racun serangga dan juga kursus penjagaan tanaman. Selain tanaman pokok kelapa pandan, segelintir penduduk di situ juga mengusahakan kebun-kebun pisang. Penduduk kampung juga bercucuk tanam bagi keperluan sara diri. Mereka menanam petola, kacang panjang, cili dan lain-lain lagi. Tanaman lain yang diusahakan ialah tebu, pisang dan juga nanas yang ditanam secara bergilir-gilir.

Program Tanah Berkelompok Pertanian yang memfokuskan kepada pokok kelapa pandan

Pertanian yang dijalankan di Binjai mendapat bantuan dari segi baja, anak benih dan juga khidmat nasihat bagaimana untuk mendapatkan hasil tanaman yang produktif. Bantuan-bantuan ini adalah dari Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Pertubuhan Peladang. Bantuan yang diberi kepada petani-petani di situ telah mengurangkan bebanan para petani yang baru menceburi bidang pertanian. Melalui bantuan yang diberi oleh agensi-agensi tersebut ia telah menaikkan semangat para petani untuk bergiat lebih serius.

Perikanan dan Penternakan
Penduduk menjadikan aktiviti perikanan sebagai sumber pendapatan sampingan. Menangkap ikan dan udang galah menjadi kegemaran kebanyakan penduduk di situ terutama golongan tua. Udang galah merupakan antara hasil sungai yang menjadi tarikan di kawasan Sungai Binjai dengan harga pasaran bagi sekilogram udang galah ialah RM35.00. Biasanya penduduk akan menjual hasil yang diperoleh di Pasar Binjai. Penduduk juga giat menjalankan aktiviti penternakan kambing jenis Boer. 

Sungai Binjai
Kandang kambing kemas dan bersih